Sudah 3 hari Dia datang ke rumah Hanya untuk Panggil ‘Mak’..

Sudah 3 hari Dia datang ke rumah Hanya untuk Panggil ‘Mak’..

Apa Apa Aje
'.

Fendi, nama yang tidak asing lagi di dalam kampung. Diceritakan di sana-sini, sebagai anak muda yang buruk akhlak, jahat dan tidak punya masa depan.


Ke mana saja yang beliau pergi, orang kampung seolah berada dalam keadaan berjaga-jaga, kemungkinan akan berlaku kecurian. Sepertinya akan berlaku mala petaka pada mereka.


Ya, Fendi seorang pencuri. Walaupun hanya sekali.


Namun begitu, Fendi punya seorang kenalan rapat. Teman baik. Seorang pemuda yang baik, Kamal namanya.


Ramai yang hairan bagaimana Kamal boleh berkawan dengan Fendi sedangkan jika dilihat dari mata kasar, sisi kehidupan mereka berdua tak ubah seperti langit dan bumi.


Kamal kerap ke masjid, manakala Fendi langsung tak pernah nampak muka. Kamal sering terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, namun Fendi pula dijulang-julang sebagai sampah masyarakat.


Suatu hari, Fendi datang ke rumah Kamal. Ketika itu ibu Kamal sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumah.


"Mak, Kamal ada?" tanya Fendi.


"Tak ada. Dia pergi surau," jawab ibu Kamal, tanpa menoleh ke muka Fendi. Lalu Fendi pun berlalu.


"Ada hati nak panggil aku mak. Aku kalau ada anak, tak hingin aku anak perangai macam kau," bebel ibu Kamal seorang diri.


Hari kedua, Fendi datang lagi. "Mak, Kamal ada?" tanya Fendi.


"Tak ada. Dia keluar," kata ibu Kamal. Memang benar Kamal keluar. Bukan ibu beliau menipu. Fendi pun pergi.


Ibu Kamal hanya menggelengkan kepala. Beliau tidak setuju benar anaknya berkawan dengan Fendi. Sudah ramai orang kampung bercakap tentang keakraban 2 anak muda ini. Bimbang Kamal akan terpengaruh dengan Fendi.


Hari berikutnya, Fendi datang lagi.


"Mak kalau Kamal tak ada, boleh saya tunggu di sini?" tanya Fendi.


Soalan itu membuatkan ibu Kamal tersentak. Seraya dia terus berfikir, apa tujuan Fendi untuk tunggu di rumahnya. Perasaan ibu Kamal bercampur baur. Seram. Risau jika diapa-apakan.


"Ok tunggulah, tapi tunggu di bawah pokok sana. Jangan duduk kat kawasan rumah," arah ibu Kamal.


"Terima kasih Mak, dapat tengok Mak dari jauh pun dah ok," kata Fendi.


Ibu Kamal semakin risau. Fendi ingin bertemu Kamal atau diri beliau? Apa maksud dapat tengok dari jauh pun sudah ok? Itu soalan yang bermain di fikiran beliau.


Lantas beliau menyambung aktiviti harian sebagai surirumah seperti biasa. Namun kepala beliau masih lagi ligat memikirkan kata-kata Fendi tadi.


Beliau rasa tidak sedap hati. Beliau harus tanyakan kepada Fendi apa yang dia mahu sebenarnya. Lalu ibu Kamal terus pergi mendapatkan Fendi.


"Sebenarnya kau nak apa ya?" tanya ibu Kamal.


Fendi hanya diam.


"Mak cik tanya kau nak apa?" tanya ibu Kamal sekali lagi.


"Nak mak," kata Fendi.


Muka ibu Kamal berubah. Marah, takut, bercampur.


"Nak mak cik buat apa?" tanya ibu Kamal.


"Saya rindu sekali untuk menyebut perkataan 'Mak'. Saya tak pernah rasa ada Mak. Saya tahu sebenarnya waktu bila Kamal ada dan waktu bila Kamal tiada. Saya datang semata-mata untuk memanggil mak cik 'Mak' sahaja," kata Fendi.


Kata-kata Fendi membuatkan ibu Kamal terdiam seketika.


"Habis kenapa sebelum-sebelum ini kamu datang, tak pernah pun kamu panggil mak cik?" tanya ibu Kamal.


"Setiap kali saya datang, mak tak pernah pandang muka saya. Saya faham dan saya tak salahkan Mak. Ramai orang tahu saya jahat," kata Fendi.


"Dah tahu ramai orang kata kamu jahat, kenapa tidak berubah?" tanya ibu Kamal.


"Tak ada orang tahu perubahan saya. Dan saya tak nak serta tak akan buat orang tahu. Cukup lah orang kenal siapa saya, yang baik biarlah Tuhan saja yang tahu," kata Fendi.


Sambungnya lagi, "Ramai manusia hanya ingin melihat sesuatu kebaikan dengan mata kasar dan lebih ramai lagi akan mengingati kejahatan seseorang sehingga ke dasar."


Ramai antara kita tidak tahu dan tidak sedar kemungkinan orang yang kita sangka jahat itu ternyata lebih baik dari kita.


Kita sukar mengingati jasa dan kebaikan seseorang. Tapi jika keburukan, biar berpuluh tahun sekali pun ianya masih utuh dalam ingatan.


Golongan ini tidak suka mempamerkan kebaikan, tidak suka kebaikan mereka dicanang-canangkan.


Sedang kita, tanpa rasa malu menabalkan diri kita sudah cukup baik tanpa kita sedar, perasaan itu menjadi titik mula sebuah kejahatan.


’Diary’ seorang budak jahat yang hanya ingin panggil Emak


Credits: Andy Sulaiman


Meriahkan group Kami disini

p/s: artikel boleh cnp asalkan tukar title, tukar bahagian gambar, tambah intro dan penutup.


No comments:

Powered by Blogger.